Maulidur Rasul S.A.W - 12 Rabi’u Awwal 1430
Saban tahun umat islam di seluruh dunia menyambut akan kedatangannya. Meraikan hari kelahiran Baginda tercinta adalah sebagai satu tanda cinta umat kepada Rasul junjungan. Justeru pelbagai acara sambutan diadakan seperti perarakan beramai² sambil berselawat, barzanji marhaban dan sebagainya sehinggakan ada sesetengah pihak yang bangkit dan membuat kenyataan bahawa perbuatan tersebut adalah bid’ah dan tiada di dalam syariat islam.
Namun, jika dilihat dari sudut positif, apakah ertinya perarakan tersebut diadakan bagi menyambut hari kelahiran baginda sedangkan kita sedikitpun tidak mengikuti jejak langkah beliau dalam kehidupan kita seharian. Dan apakah ianya mendatangkan faedah yang baik dan membuahkan hasil atau ganjaran yang setimpal dengan apa yang kita dilakukan.
Jika kita perhatikan, masih ada lagi umat islam yang sehingga kini masih lagi mengamalkan adat resam yang tidak diketahui asal usulnya sehinggakan ianya dijadikan sebagai ibadat kerana mereka tidak tahu membezakan antara adat dan ibadat. Hanya dengan mendalami Ilmu agama sahaja yang akan memisahkan kita antara jurang kejahilan itu.
Justeru, apa yang perlu dilihat dan perlu diambil pengajaran daripada peristiwa kelahiran Nabi S.A.W, adalah dengan menghayati dan mengamalkan segala apa yang dibawa oleh baginda dan meninggalkan segala apa yang ditegah olehnya.
Seperti mana firman Allah S.W.T di dalam surah Al-Hasyr, ayat 7:
(وَمَآ ءَاتَٮٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَہَٮٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْۚ)
Maksudnya : “ Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) itu kepada kamu, maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarang-Nya akan kamu melakukannya, maka patuhilah larangan-Nya.”
Oleh yang demikian, sebagai umat islam akhir zaman yang mengaku menjadi umat Muhammad S.A.W haruslah bangkit dan membuat perubahan di dalam kehidupan kita. Menjadikan Rasulullah S.A.W sebagai contoh tauladan yang mulia dan meninggalkan segala apa yang beliau tegahi. Hanya baginda sahajalah Rasul yang akan memberi Syafa’at kepada kita nanti di yaumil Mahsyar kelak. Semoga kita semua tergolong di kalangan umat-Nya yang mendapat Syafa’at (Perlindugan) daripada baginda di akhirat nanti. Amin…
~ اللهم صل وسلم على سيدنا محمد ~
Wrote : Mohd Amirul Kamarudin
Date : 11 Rabi’u Awwal 1430 (H)
0 Comments