• akuameer
  • akuameer
  • akuameer

Tagline: , , , , , ,


Ditulis oleh Presiden PAS Khamis, 22 Disember 2011 16:50

Peringatan ini ditujukan khusus kepada seluruh kepimpinan dan ahli PAS, serta masyarakat di Malaysia secara umumnya, dalam kita mendepani permasalahan yang sedang berlaku di waktu ini.


Firman Allah :

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَافَّةً فَلَوْلاَ نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُواْ إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Maksudnya : (Dan bukanlah semua orang-orang yang beriman itu keluar berperang. Mengapa tidak ada satu kumpulan di kalangan mereka yang bertafaquh (belajar dan memahami) ajaran Islam dan supaya mereka pulang memberi peringatan apabila kembali menemui kaum mereka, mudah-mudahan mereka menerima peringatan). (At-Taubah:122)

Sabda Rasulullah S.A.W.

مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ


(Sesiapa yang Allah menghendakinya menjadi seorang yang baik nescaya dijadikannya Faqeh (faham) dalam perkara agama Islam). Riwayat Bukhari Muslim


Kedua–dua nas ini menunjukkan bahawa Islam itu bukan sahaja semangat yang berkobar-kobar dan ilmu secara bertulis, dalam masa yang sama ianya mempunyai disiplin ilmu serta memahami cara pelaksanaannya. Semua bidang dan lapangan ajaran Islam hendaklah dipelajari bukan sekadar sebagai satu ilmu, tetapi dalam masa yang sama hendaklah memahami cara beramalnya.

Allah S.W.T. memerintah kepada sesiapa yang memperuntukkan masa hidupnya dalam perjuangan supaya mengambil masa untuk belajar daripada kalangan yang belajar dengan faqeh (faham). Apabila belajar, maka hendaklah pula daripada kalangan ahli ilmu yang bukan sahaja faham, bahkan beramal dan berjuang dengan ilmu yang dipelajari itu dengan kefahamannya yang tulen dengan penuh istiqamah.

Perkataan feqah pada zaman awal Islam merangkumi semua ajaran Islam. Kemudiannya para ulama mengkhususkan istilahnya kepada hukum syariat sahaja. Adapun perkara yang berkait dengan iman atau aqidah dinamakan Usulu Al Din atau ilmu Tauhid atau Aqidah dan yang berkait dengan akhlak pula dinamakan Akhlak atau Tasswwuf.

Mafhum bahasa Al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. merangkumi seluruh ajaran Islam hendaklah dilaksanakan secara Feqah atau faham, khsusnya dalam perkara hukum syariat yang tidak ada nas yang nyata atau bergantung dengan ijtihad. Sirah Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa Al Rasyidin banyak menunjukkan huraian yang nyata, betapa perlunya ajaran Islam itu dihayati dengan Feqah (Fahaman) bukan sahaja dengan ilmu. Feqah bukan sahaja seperti difahami oleh masyarakat awam hanya dalam perkara ibadat, sembahyang, puasa, zakat dan haji; bahkan merangkumi segala ajaran Islam. Khususnya dalam perkara politik yang dilupakan atau dijahilkan oleh sebahagaian besar umat Islam.

Ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah, yang juga merupakan amalan berpolitik yang membawa kepada tegaknya negara dan masyarakat madani, Rasulullah S.A.W. telah menggunakan khidmat seorang bukan Islam yang berpengalaman dengan jalan pintas yang selamat dan cepat sampai ke Madinah. Sudah tentu seorang bukan Islam yang dipercayai akan menyimpan kerahsiaan menjaga keselamatan, dan benci kepada kezaliman walau pun tidak menganut Islam.

Di Madinah pula dilaksanakan amalan menegakkan negara, dengan kekuatan umat Islam sendiri di kalangan Muhajirin dan Ansar, seterusnya melibatkan kaum bukan Islam di kalangan Yahudi, Kristian, Musyrikin Arab dan membenarkan kewujudan kalangan munafiq dalam masyarakat Madinah. Semuanya mengambil kira ayat-ayat Al Quran yang memberi amaran supaya berwaspada terhadap musuh dan ayat-ayat yang mengizinkan dan mewajibkan Islam disampaikan kepada seluruh manusia dan pelaksanaan Islam terhadap seluruh manusia juga.

Maka pengajian secara feqah (faham) sahaja boleh melaksanakan risalahnya dengan istiqamah, bukan sahaja memahami nas secara ayatnya yang zahir, termasuk juga meletakkan pelaksanaannya pada masa, tempat dan situasi yang berbeza. Banyak ayat-ayat Al Quran diturunkan dan hadith-hadith Rasulullah S.A.W. bersandarkan sebab yang berlaku sekiranya memerlukan penjelasan.

Apabila Rasulullah S.A.W. menerima perjanjian Hudaibiyyah, manakala para sahabat merasakan perjanjian itu berat sebelah dan tidak berpehak kepada Islam, bahkan lebih berpihak kepada musuhnya. Bermula dengan pihak musyrikin (i) menolak penggunaan Bismillah, (ii) menentang dicatit nama Muhammad Rasulullah, (iii) membenarkan mereka yang berada di Madinah melarikan diri ke Makkah, sebaliknya tidak membenarkan orang Islam di Makkah berhijrah ke Madinah, (iv) dilarang meneruskan amalan umrah walau pun Rasulullah dan para sahabatnya sudah berpakaian ihram dan lain-lain.

Rasulullah S.A.W. bertegas dengan keputusan menerima perjanjian Hudaibiyah tanpa wahyu diturunkan, tetapi berpandukan ketajaman bacaan Rasul terhadap Feqah politik semasa, dan para sahabat mentaati secara mutlak kerana kerasulannya. Akhirnya perjanjian yang diterima memberi kemenangan yang besar kepada Islam dan menerima kunjungan kabilah yang datang menganut Islam dengan jumlah berlipat kali ganda sebelumnya.


Dalam perkara yang lain, Allah S.W.T. mengajar Rasulullah S.A.W. dan para sahabat R.A. melaksana dan mematuhi Syura secara tegas dalam peristiwa Uhud dengan firman Nya yang bermaksud :

وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

(Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam mengendalikan urusan. Maka apabila engkau telah berazam (dengan keputusan ) maka berserah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berserah kepadanya).

Ayat ini menunjukkan kepada kita konsep bermesyuarat dan kepatuhan kepada keputusan yang diambil dan mengharapkan pertolongan Allah selepasnya, walau pun selepasnya menerima tamparan korban dan kecederaan. Ini adalah cara bermesyuarat dalam Feqah berjamaah khususnya dalam politik.

Semua kenyataan tersebut adalah menjadi pedoman kepada sesiapa yang mahu berpolitik secara Islam. Bagi mengemaskini supaya ajaran Islam dilaksanakan secara Feqah, maka para ulama merangka kaedah-kaedah ilmu yang berkait dengannya yang dinama ilmu usul feqh, maqasid syariat dan siyasah syari’yyah.

Bagi memelihara ajaran ini dilaksanakan, maka Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mewujudkan MAJLIS SYURA ULAMA sebagai badan yang berwibawa mengikut perlembagaan PAS untuk memelihara amalan Islam secara Feqah Islam yang sebenar. Badan yang dianggotai oleh kalangan ilmuan Islam yang mampu memahami sumbernya yang tertinggi : Al Quran, Hadith, Ijmaa, dan Qiyas yang nyata. Majlis Syura Ulama bertanggungjawab melakukan kajian dan ijtihad secara Jamaei dalam menghadapi cabaran semasa dengan sistem ilmu-ilmu yang berkait dengannya. Keanggotaan Ahli Majlis Syura pula mewakili seluruh cabang kepimpinan tertinggi PAS.

PAS telah berjaya menghadapi semua pengalaman di sepanjang perjuangannya sejak ditubuhkan, sama ada secara bersendirian, bersefahaman dengan : kerajaan, pembangkang dan NGO, Islam dan kalangan bukan Islam.

Pendekatan politik mutakhir bersama Pakatan Rakyat adalah menjadi penerusan amalan politik Islam secara feqah, bukannya secara remeh temeh. Kejayaan dicapai apabila kalangan bukan Islam menerima konsep perlembagaan, Islam menjadi agama negara dengan hak yang diberi secara adil kepada penganut agama lain, hak Bumiputra, Bahasa Kebangsaan dan Raja Berpelembagaan.

Perlu diingat, bahawa UMNO yang menjadi teras kerajaan BN gagal mencapai matmatnya setelah memerintah lebih lima puluh tahun, kerana tidak menjadikan Islam mengikut makna Al Quran dan ajaran Rasulullah S.A.W. Apakah tempoh masa lebih lima puluh tahun tidak mampu melakukan muhasabah ?.

Seluruh ahli PAS wajib bertambah yakin bersama perjuangan di atas bahtera PAS dengan setiap pengalamannya walau pun tidak diberi hak yang adil, inilah sifatnya perjuangan Islam. Kita wajib menyedari bahawa semua tindakan bersendirian telah mengugurkan sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan dalam PAS. Namun PAS tetap selamat dan menjadi Parti Islam yang makin gagah perkasa menghadapi cabaran pasang surut perjuangan Islam.

PAS terus istiqamah dengan perlembagaan tertingginya yang dijamin oleh kumpulan yang berwibawa. Sesiapa yang cuba berlagak pandai tanpa ilmu yang sebenar pasti tersungkur dengan lagaknya, dan sesiapa yang berilmu dan menganggap dirinya paling bijak dalam PAS secara individunya tanpa peduli terhadap adab berjamaah dalam Islam, akan menjadi mangsa serigala politik yang menjadi musuh perjuangan Islam, inilah sikap membahayakan diri sendiri yang diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W.

الشَّيْطَانُ ذِئْبُ ابْنِ آدَمَ كَذِئْبِ الْغَنَمِ ، فَإِنَّ الذِّئْبَ يَجِيءُ فَيَأْخُذُ الشَّاذَّةَ وَالنَّاحِيَةَ وَالْمُنْفَرِدَةَ ، فَالْزَمُوا الْعَامَّةَ

(Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala yang menangkap manusia , laksana serigala yang menangkap kambing yang terpencil daripada kawanannya dan yang berada disudut yang menjauh diri daripada kawanannya). Dalam Musnad Ahmad.

PAS terus terbuka kepada semua yang bersedia bersamanya bagi melangsungkan perjuangan menegakkan Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh manusia.

Sesiapa yang menyertai PAS wajib mengikut haluan dan hala tujunya serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan faham.

Khadam Perjuangan Islam

PRESIDEN PAS

read more "POLITIK ISLAM ADA FEQAHNYA"

Tagline: , , ,


Tarikh: 11 November 2011 atau 11/11/11 (14 Zulhijjah 1432H)
Masa: 11:11:11 am/pm (ikutlah..nak 11 pagi ke 11 malam)



DUNIA,
ramai pasangan (bakal) pengantin di seantero dunia menantikan tarikh keramat ini (klik di sini dan di sini). Ramai juga ibu-ibu mengandung yang sedang sarat itu menantikan detik bersejarah ini (klik di sini dan di sini). Dan ada juga couple2 yang menunggu saat-saat indah seperti ini untuk berpesta, berdating, bercatting, berrrr...ting ting ting....dan sebagainya. ada jugak yang buat Movie....pastu, ada pulak bayi yang kena buang dalam tong sampah nanti.....hmm....!!!


Bagi aku, tiada yang istimewa-nya bagi tarikh 11-11-11 ini... semua perkara dan rutin harian berlaku dan berlalu seperti biasa dan macam biasa. Hujan, panas, mendung suram pun berlaku jua macam biasa... So, apa yang nak digilainya pun kan adoi...!!

Ada juga yang mengaitkan tarikh 11-11-11 ini dengan nombor keramat atau simbolik pada sesuatu kepercayaan/agama seperti nombor keramat dajjal la macam2 la.... aku malas nak taip la..korang klik di sini jer.... Dan ada juga yang kata 11-11-11 tu istimewa baginya (Ustaz Yusof Embong)...tapi ulasan daripada ustaz nih aku suka.

Dan dan dan kebetulan pula, 11-11-11 jatuh pada hari Jumaat bertepatan dengan hari kelahiran dady ku... kami sekeluarga tidak pernah terfikir tentang keistimewaan tarikh 11-11-11 sebab dah memang dady ku lahir pada tarikh berkenaan, apa nak herannya...kan?



Sama la jugak dengan hari keputeraan Baginda Sultan Kelantan Darul Naim, Sultan Muhammad ke-V (kelima), Tuanku Fariz Petra. Moga Allah memberkati baginda. Sembah tahniahku buat Baginda Tuanku, walaupun aku bukan orang kelantan, adik aku je kelantanese.



So, yang baik2 tu bagus lah....kan?

Tetapi ada juga peristiwa atau tragedi buruk berlaku pada 11-11-11 yang kita semua tak suka dengar dan lihat. Klik di sini: myMetro |



Haa..yang ni penting..... Penat aku edit gambar ni pagi tadi sebelum subuh, nak bagi gempak punya...tapi ada mesej yang di bawa bersamanya. Harus diingat dan beringatlah selalu....!!!

Tiada kemalangan, tiadalah tangisan...itulah yang selalu dan sering diingatkan. Ajal tetap akan sampai kerana itu takdir-Nya, tetapi mencegah atau mengelak daripada berlakunya kemalangan seperti gambar di atas itu harus dilakukan.

Antara respon berkenaan dengan tarikh 11-11-11 di Facebok:

Ustaz Azhar Idrus ( Original ):Tanpa iktikad apa2 kelebihan pada tarikh tersebut tidak dosa tp bodoh.

Ustaz Sham Kamikaze: Tiada apa apa keistimewaan pada tarikh 11.11.11. Aqidah Islam bukan terletak pada nombor. Berhati hatilah dan jangan terpengaruh dengan hal sebegini. Jangan meletakkan sesuatu yang tidak bermakna sehingga merosakkan aqidah,na'uzubillah.

Ustaz Hasrizal Abdul Jamil: 11/11/11 tidak sepatutnya mempunyai sebarang makna kepada manusia yang aqidah, pandangan hidup dan sistem nilanya adalah Islam.

Ustaz Muhammad Hafizuddin: 11/11/11 hanyalah tarikh kitaran hari, bulan dan tahun. Yang hidup teruskan perjuangan mencari redha Allah, yang mati Allah sahaja yang tahu.


Wallahu 'Alam
read more "Kenapa 11/11/11....???"

Tagline: , , ,


Kenyataan Media

Dewan Pemuda PAS Malaysia

Seksualiti Merdeka 2011 : Kembalilah kepada Fitrah

06 Dzul al-Hijjah 1432 / 02 November 2011

Negara kita gempar lagi dengan satu program yang dikenali sebagai Seksualiti Merdeka 2011 dengan temanya " Queer Without Fear" yang berlangsung pada 2 Nov 2011 hingga 13 Nov 2011 di The Annaxe Gallery.

Program ini kononnya berteraskan perjuangan "Human Right", menuntut hak dan kebebasan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual [LGBT] untuk mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka. Sekilas pandang, mereka sedang memperjuangkan hak dan kebebasan dengan gaya hidup pilihan mereka dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia. Justeru itu, mereka tidak lagi teragak - agak untuk mengiklan, memperjuang dan menganjurkan programnya secara terbuka

Sungguhpun mereka tampil dengan prinsip perjuangan Human Right, Islam mempunyai pandangannya yang tersendiri mengenai perkara ini, sementara Dewan Pemuda PAS Malaysia berpaksi teguh kepada ajaran Islam, justeru Islam adalah agama petunjuk dari Allah swt Tuhan yang mencipta manusia.l

Islam adalah agama fitrah sementara fitrah manusia ialah hidup berpasang - pasangan lelaki dan perempuan. Justeru itu, perkahwinan yang sah di sisi Islam hanyalah perkahwinan yang melibatkan lelaki dengan pasanganya perempuan yang bukan mahramnya. Sementara perkahwinan atau hubungan sesama jenis adalah suatu noda yang dilarang oleh Islam ke atas penganutnya kerana ia jelas bertentangan dengan fitrah kejadian atau ciptaan manusia di atas muka bumi.

Firman Allah swt:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

Surah ar Ruum : ayat 21

Asas larangan tersebut adalah untuk memelihara fitrah manusia sekaligus mempertahankan tamaddun ummah dari kepincangan sosial dan malapetaka yang bakal menimpa ekoran tercetusnya kemurkaan Allah swt. sebagaimana murkanya Allah swt ke atas kaum Nabi Luth as. yang mengamalkan gaya hidup homoseksual.

Budaya gay dan lesbian adalah budaya songsang yang tidak sewajarnya diperjuangkan dan diamalkan oleh ummat manusia amnya dan ummat Islam khasnya. Malah ia sangat bertentangan dengan nilai moral dan fitrah kemanusiaan serta tamaddunnya. Jika budaya ini menjadi amalan bagi manusia selaku penduduk di bumi ini, nescaya suatu ketika kelak akan pupuslah generasi ummat manusia sedang Nabi saw berbangga dengan lahir ummatnya yang ramai.

Sabda Rasulullah saw

تزوجوا الودود الولود فإني مكاثر بكم الأمم يوم القيامة


Kahwinilah olehmu akan perempuan yang penyayang dan mampu melahirkan anak kerana sesungguhnya aku sangat berbangga dengan ramainya ummatku diakhirat kelak.

Riwayat Imam Ahmad

Kecenderungan mengamalkan kehidupan gay, lesbian dan biseksual ini adalah bertolak dari nafsu yang tidak dikawal. Sedang Islam telah menganjurkan ummat manusia supaya berkahwin secara normal dan menggariskan kaedah kawalan nafsu bagi mereka yang tidak mampu melakukannya. Seperti sabda Rasulullah saw dari Ibnu Masuud radhiyallahu 'anhu :

يا معشر الشباب من استطاع منكم الباءة فليتزوج فإنه أغض للبصر وأحصن للفرج ، ومن لم يستطع فعليه بالصوم فإنه له وجاء

Wahai sekelian anak muda ! barangsiapa yang mampu [dan bersedia untuk berkahwin] dari kalangan kamu, maka berkahwinlah, sesungguhnya perkahwinan itu membantu menundukkan pandangan, memelihara kemaluan dan barangsiapa yang tidak mampu melakukannya, maka berpuasalah kerana sesungguhnya puasa itu adalah perisai [dirinya agar tidak terjerumus dalam kancah keruntuhan sosial]

Riwayat Imam Bukhari dan Muslim

Dewan Pemuda PAS Malaysia menyeru penganjur dan penyokong program Seksualiti Merdeka 2011 agar tidak meneruskan perjuangan dan kempen mereka ke arah menuntut kebebasan pada gaya dan cara hidup barat yang salah dengan norma, tatasusila, budaya dan agama. Sedarlah bahawa gaya hidup seperti ini akan berdepan dengan kemurkaan Allah swt selain ia membuka pintu kepincangan sosial dan budaya negara kita.

Ia adalah satu bentuk kemungkaran yang tidak wajar diperjuang dan diamalkan, bahkan ia sangat menyentuh sensitiviti ummat manusia yang menjalani kehidupan normal. Dewan Pemuda PAS yakin, jika mereka mendapat bimbingan wajar dari pihak berkuasa agama dan lainnya yang berkaitan, perkara ini dapat dibendung dengan baik daripada terus menular lalu membentuk satu budaya.

Inilah rasionalnya Dewan Pemuda PAS menasihati dan menegur pemerintah agar tidak meluluskan penganjuran konsert icon gay Elthon John di negara ini sebagai langkah menutup pintu - pintu mungkar yang mengundang kemurkaan Allah swt Tuhan yang Maha Mencipta. Walaupun dikatakan Elthon John tidak akan menyeru rakyat Malaysia meniru gaya hidup gaynya, tetapi sudah cukup pengiktirafan yang diberikan kepada beliau menyuburkan budaya gay di Malaysia yang semakin hari semakin menular.

Kebebasan bukan bermakna manusia bebas melakukan apa sahaja sehingga bertentangan dengan fitrah dan agama. Kalaupun seseorang tidak beragama sekalipun, aqal yang masih dimiliki tidak mungkin membenarkan manusia melakukan apa sahaja di atas ticket kebebasan. Sebaliknya manusia mesti hidup berasaskan peraturan - peraturan tertentu yang mengikat komitmen dirinya agar tidak terbabas dari kebaikan dan kemuliaan.

Secara analoginya boleh saya contohkan seperti memandu kereta. Sungguh pun kereta itu milik kita yang sah, pula kita telah membayar road tax dan insuransnya, maka atas nama kebebasan lalu kita bebas untuk memandu laju tanpa menghirau peraturan lalulintas. Ini sangat merbahaya terutama pemanduan dengan had kelajuan melampau seperti 160 kmj di selekoh tajam yang bertanda 20 kmj. Awas ! Ini bukan lagi bebas tetapi babas.

Dewan Pemuda PAS merayu agar mereka kembali menjalani kehidupan normal berasaskan petunjuk Allah swt Tuhan yang Mencipta manusia. Formula kehidupan Islam sungguh indah dan damai malah membawa ketenangan yang dicari dalam hidup. Sebagaimana firman Allah swt di dalam surah Ar Ruum ayat 21. Dewan

Pemuda PAS sedia berdialog ke arah itu bagi menangani perkara ini.

Usah lari dari fitrah dan meninggalkan kehidupan beragama kerana jiwa tidak tenteram dan tidak pun boleh menyelesaikan masaalah. Sebagai contoh pengalaman hidup yang dialami oleh Elthon John sendiri selepas beliau berkahwin dengan kaum sejenis atau pasangan gaynya, keinginan atau naluri mahu memiliki anak tetap menguasai dirinya lalu mendorong beliau mendapatkan anak melalui ibu tumpang.

Terdapat 2 perkara yang tidak boleh menyelesaikan masaalah dan konflik jiwa mereka .

Pertama : perkahwinan sejenis yang mereka amalkan tidak boleh memenuhi kehendak mereka untuk memiliki seorang anak.

Kedua : biarpun mereka boleh mendapatkan anak melalui proses ibu tumpang, mereka tetap tidak boleh memenuhi hasrat naluri mereka untuk memiliki anak kandung yang tentunya hadhir secara fitrah.

Sedangkan dua perkara inilah antara pelengkap kebahagian dan kasih sayang dalam kehidupan berumahtangga bersama pasangan hidup sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam. Rumahtangga yang dibina melalui perkahwinan sejenis ini hanya mungkin boleh mencapai kepuasan dari sudut melampiaskan nafsu seksual tetapi jiwa mereka meronta mencari sebuah ketenangan hakiki.

Nasrudin bin Hassan

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Takbir....Allahu Akbar !!!
read more "Pemuda PAS Bantah Seksualiti Merdeka !!"
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Hak cipta © a k u a m e e r (2008 – 2011)


Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di
akuameer.blogspot.com dihasilkan untuk tujuan informasi, bahan bacaan ilmiah dan ceritera hidup Akhi Ameer semata mata. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun tagline atau alamat akuameer.blogspot.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan.


Manakala untuk penerbitan semula isi kandungan daripada blog ini atau sebahagian daripadanya, pengeluaran sama ada dengan cara bertulis, cetakan media, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya adalah DILARANG sama sekali kecuali dengan izin
akuameer.blogspot.com terlebih dahulu.



::
Hidup Bermaruah atau Mati Shahid - عيش عزيزاً أو مت شهيداً ::

Akhi Ameer @
akuameer.blogspot.com
Setapak, Kuala Lumpur.