Soalan: Bagaimana caranya untuk mengerjakan solat jumaat yang jatuh pada hari raya?


Jawapan: Apabila berlakunya hari raya pada hari jumaat, maka memadailah baginya melakukan solat hari raya sahaja. Sepertimana yang telah di sebutkan dalam sebuah hadith iaitu:


قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ. عَنْ رَسُولِ اللهِ صَلىَّ اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِجْتَمَعَ فِي يَوْمِكُمْ هَذَا عِيْدَانِ، فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ عَنِ الْجُمْعَةِ، وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ. (رواه أبو داود و الحاكم)


Maksudnya: Telah berkata Abu Hurairah, Bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda: “ Telah berhimpunnya hari ini dengan dua hari raya (iaitu hari raya dan hari jumaat). Maka barangsiapa inginnya (solat hari raya), memadailah baginya melakukannya (solat hari raya) dan tidak perlu melakukan solat jumaat lagi. Tetapi kami mendirikan solat jumaat juga.”

(Hadith Sahih, riwayat Abu Daud dan Al-hakim)


Keterangan: Apabila berhimpunnya umat islam (pada hari yang sama) untuk menunaikan dua hari raya (iaitu hari raya dan hari jumaat), maka memadailah baginya hanya melakukan solat hari raya sahaja dan tidak perlu ditunaikan solat jumaat kerana di dalamnya juga ada khutbah dan solat sunat hari raya itu menjadi wajib baginya.

Sabda Nabi S.A.W dalam riwayat yang lain:


قَالَ زَيدُ بِن أَرْقَمَ: إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى الْعِيْدَ ثُّمَ رَخَّصَ فِي الْجُمْعَةِ، فَقَالَ: مَنْ شَاءَ أَنْ يُصَلِّي فَلْيُصَلِّ .( رواه أبو داود والإمام أحمد)


Maksudnya: Telah berkata Zaid bin Arqam: “Bahawasanya Nabi S.A.W menunaikan solat hari raya pada hari jumaat, kemudian beliau memberi kelonggaran pada melakukan solat jumaat. Lalu beliau bersabda: Barangsiapa yang ingin mengerjakan solaj jumaat, maka tunaikanlah.”

(Hadith Dhaif, riwayat Abu Daud dan Imam Ahmad).


Hadith ini sungguhpun martabatnya lemah, tetapi ia disokong oleh hadith yang pertama. dan hadith² yang lain.


Keterangan: Meskipun solat jumaat itu dibenarkan untuk tidak melakukannya kerana telah menunaikan solat hari raya, akan tetapi wajib bagi mereka untuk menunaikan solat zohor empat rakaat bagi menggantikan solat jumaat. Begitu juga bagi kaum wanita yang telah menunaikan solat hari raya, wajib ke atas diri mereka mengerjakan solat zohor (seperti biasa) kerana mereka tidak menunaikan solat jumaat.

Wallahu A’lam…

1 Comments

Noramin Nordin said…
tahniah! comeback yang bagus dengan post yang sangat bermanfaat!