﴿ وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya: Dan tiadalah Kami (Allah) utuskan kamu (wahai Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi sekalian alam. “

Selawat dan salam buat junjungan besar Muhammad S.A.W serta ahli keluarga dan sahabat baginda hingga ke akhirnya.

Saban tahun umat manusia terutamanya di Malaysia ini menyambut hari kelahiran Nabi S.A.W apabila tibanya 12 rabi’ul awwal tahun hijriyyah. Pelbagai acara dan program diadakan seperti perarakan beramai-ramai sambil berselawat dengan membawa sepanduk yang tertera dengan pelbagai ucapan, slogan dan tema masing-masing.

Ada juga yang mengadakan ceramah, forum perdana, tazkirah dan sebagainya sempena memperingati hari kelahiran baginda. Tetapi, persoalannya apakah ini dan beginikah yang akan berterusan sehingga ke generasi akan datang? apakah ini caranya sahaja yang termampu untuk kita buktikan tanda kecintaan kita kepada Baginda S.A.W?

Kita sering menyatakan bahawa kita amat cinta dan sayang kepada baginda, sedangkan syariat dan ajaran yang di bawa oleh baginda kita tolak. Semua hukum-hakam agama yang telah diperjelaskan oleh baginda kita melalui hadithnya langsung tidak amalkan malah ada juga yang menolaknya.

Apakah kita ini setaraf dengan Abu Jahal dan Abu Lahab, merekalah orang yang paling gembira sekali ketika mana lahirnya Baginda S.A.W. Mengikut apa yang telah diriwayatkan di lembaran sejarah kelahiran baginda, Abu jahal adalah orang yang paling gembira sekali pada ketika itu. Oleh kerana terlalu gembira dengan kelahiran tersebut, beliau telah menyembelih 9 ekor unta dan banyak lagi acara-acara yang diadakan bagi meraikan kelahiran baginda. Namun apabila Baginda dilantik menjadi nabi dan rasul, mereka jugalah orang yang kuat menentang dan mendustakan kerasulan baginda sehingga Allah mengutuk perbuatan mereka yang mencela baginda dan ia dirakamkan di dalam surah Al-Lahab.

بِسمِ اللَّهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

تَبَّتْ يَدَا أَبِى لَهَبٍ وَتَبَّ ﴿١﴾ مَا أَغنَىٰ عَنهُ مَالُهُ وَمَا كَسَبَ ﴿٢﴾ سَيَصْلىٰ نَارًا ذَاتَ لَهَبٍ ﴿٣﴾ وَامْرَأَتُهُ حَمَّالَةَ الحَطَبِ ﴿٤﴾ فِى جِيدِهَا حَبْلٌ مِن مَسَدٍ ﴿٥﴾

Maksudnya:

“ Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. ”

(1) Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa. (2) Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang ia usahakan. (3) Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak. (4) Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar. (5) Yang di lehernya ada tali dari sabut.

Kesimpulan daripada apa yang telah dijelaskan di atas tadi bahawa bukti kecintaan yang hendak dipamerkan kepada nabi S.A.W bukanlah hanya sekadar menyambut hari kelahiran Baginda dengan mengadakan perarakan sambil berselawat dan sebagainya. Dan ini juga tidaklah menjadi satu kesalahan untuk dilakukan tetapi apa yang harus di lihat di sini bahawa perkara yang amat terpenting sekali adalah mengamalkan sunnah Baginda di dalam kehidupan kita seperti sabda Baginda S.A.W di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi yang bermaksud:

“ Barang siapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia mengasihi aku, dan siapa yang mengasihi aku, sesungguhnya dia akan bersamaku di syurga.”

Itulah jaminan yang Baginda S.A.W berikan kepada umatnya yang mengamalkan sunnah Baginda. Itulah bukti sebenar cinta kepada Rasul. Alangkah malangnya manusia yang sering melaungkan slogan cintanya kepada Rasul tetapi dalam masa yang sama mereka menolak hukum syariat yang di bawa oleh baginda dan mereka langsung tidak akan mendapat jaminan yang dinyatakan di atas.

Marilah kita bersama menghayati sirah perjalanan hidup baginda S.A.W serta berusaha untuk mengamalkan sunnahnya secara sempurna dalam kehidupan kita.

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله صحبه أجمعين ...

1 Comments

br perasan..cam artikel maulidur rasul tahun lepas jer..tpi ni lgi berisi laa..