Mukaddimah

Artikel ringkas ini ditulis atas dasar permintaan dan pertanyaan sebahagian daripada sahabat-sahabat yang keliru dan tersalah anggap tentang kenyataan-kenyataan ganjil yang dimuatkan di dalam buku-buku, kitab-kitab dan majalah-majalah tertentu berkenaan ketetapan Allah swt kepada tempat dan arah serta penyamaanNya dengan makhluk. Bukan itu sahaja, malah kenyataan sedemikian rupa juga ada diajar di sekolah, kuliah, ceramah dan tidak ketinggalan penyebarannya melalui jaringan internet. Paling mendukacitakan kenyataan yang tidak dapat diterima akal ini dijadikan sebagai kurikulum dan metodologi pengajian Tauhid di sekolah-seolah rendah dan menengah. Permasalahan ini semakin meracuni minda dan fikiran masyarakat awam yang jahil dan tidak mendalami ilmu tauhid dengan lebih mendalam menjadikan fahaman ini sebagai panduan dan pegangan akidah mereka. Di sebabkan itu, kefahaman yang kurang tepat dan bercanggah dengan kesepakatan ulama menjadikan masyarakat Islam berpecah dek kerana ketaasuban dan keghairahan aliran pemikiran dan pegangan masing-masing.

Permasalahan

Antara perkara yang menjadi masalah bagi kumpulan radikal, pelampau dan orang-orang yang berkeras ini adalah menyifatkan Allah swt sama dengan makhluk atau berhajat kepada makhluk. Kita fahami bahawa Allah swt menciptakan semua makhluknya bukanlah bertujuan untuk berhajat kepadanya, akan tetapi penciptaan makhluk oleh Allah swt adalah untuk beribadat serta menyembah kepadanya yang Maha Esa. Baik daripada kalangan manusia, haiwan, tumbuhan dan benda-benda yang keras, semuanya itu bertanggungjawab untuk mengabdikan diri kepada Allah swt yang Maha Esa. Berkenaan cara dan konsep pengibadatan, ia bergantung kepada pentaklifan dan suasana makhluk tersebut. Manusia dengan caranya tersendiri dan haiwan juga dengan caranya tersendiri. Ini menunjukkan bahawa Allah swt berkuasa untuk menciptakan segala sesuatu tanpa ada yang membantu dan tidak pula berhajat kepada bantuan. Inilah asas pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berpaksikan kepada fahaman imam al-Asya’ari.

Oleh yang demikian, ketaasuban dan keghairahan kumpulan radikal Islam ini untuk menyamakan Allah swt dengan makhluk atau berhajat kepadanya tidak berubah seperti pegangan akidah orang-orang Nasrani dan Yahudi yang sesat dan kufur kepada Allah swt. Kemestian bagi kumpulan radikal Islam ini menyamakan Allah swt dengan makhluk adalah berpunca dari kelemahan mereka dalam memahami nas-nas al-Quran dan hadis Nabi saw dengan baik serta ego dan gemar mempraktikkannya secara zahir ayat semata tanpa merujuk dan mengikut pandangan majoriti ulama.

Menyifatkan Allah swt dengan tempat, arah dan jisim adalah fitnah yang paling besar berlaku di dalam sejarah umat Islam. Pada zaman nabi saw, para sahabat dan 3 kurun yang pertama, tiada seorang pun daripada kalangan mereka yang memberikan erti dan menunjukkan apa-apa tanda serta isyarat bagi menyatakan bahawa Allah swt itu berhajat kepada tempat, arah dan berjisim seperti makhluk. Berbeza dengan pandangan mereka yang ghairah menyeleweng dan menyimpang dari membersihkan sifat Allah swt yang menyamakan segala sifat dengan makhluknya.

Seperti yang kita maklum bahawa istilah ‘tempat’ ini memerlukan kepada ‘ruang’ dan ‘kawasan’. Apabila menghuraikan perkataan ‘ruang’ dan ‘kawasan’ ini, maka ia memerlukan batasan, sempit, sudut, lebar, panjang, tinggi, besar, kecil serta keluasan yang boleh diukur dan dihitung. Sekiranya kumpulan radikal ini menyatakan bahawa Allah swt itu berhajat kepada ‘tempat’, maka ini bermakna seolah-olah Allah swt bergerak untuk berpindah kerana di sebabkan sesuatu pemprosesan dari suatu kedudukan ke kedudukan lain yang dipaksa oleh keadaan atau suasana yang tertentu.

Begitu juga kepada lafaz ‘arah’, makna perkataan ini sebenarnya merujuk kepada arah di hadapan, belakang, atas, bawah, tepi dan tengah. Mengakui serta menetapkan Allah swt kepada arah di atas, tinggi atau di langit adalah bererti menyatakan bahawa Allah swt itu wujud bersama makhluk sejak dari azali lagi. Ini bermakna, ada makhluk lain yang berkongsi dengan Allah swt sejak sebelum dan selepas penciptaan arah ‘atas’ dan ‘alam’ serta makhluknya yang lain. Bukan itu sahaja, bahkan ia juga menyifatkan arah tersebut dengan sifat Qadim Zati atau kekal selama-lamanya bersama Allah swt yang tidak akan musnah dan hancur. Di samping ia menyatakan bahawa Allah swt itu berhajat kepada bantuan makhluknya yang fana. Secara tidak langsung, hakikatnya mereka menetapkan bahawa Allah swt itu memiliki sifat penat dan letih kerana banyak bekerja dan memerlukan tempat untuk berehat, tidur dan bersandar. Maha Suci Allah dari segala sifat kelemahan.

Begitu juga kebatilan kumpulan ini yang menyatakan bahawa Allah swt itu ‘berjisim’ seperti makhluknya. Tidak dinafikan bahawa di dalam al-Quran dan hadis nabi saw mengandungi lafaz-lafaz yang bersifat ‘Mutsyabihat’ dan ‘tersirat’. Mutasyabihat boleh diertikan sebagai kandungan makna yang samar-samar dan tidak terang maksudnya. Lafaz Mutasyabihat ini tidak boleh disebarang takwilkan melainkan bagi mereka yang menguasai syarat-syarat dan disiplin-displin ilmu Islam yang telah ditetapkan. Menetapkan Allah swt dengan tangan, kaki, mata, jari dan sebagainya dengan makhluk adalah satu kecacatan dan penghinaan kepada Allah swt sebagai tuhan yang berhak disembah. Apabila seseorang yang menetapkan Allah swt dengan jisim salah satu makhluknya, maka dia telah beriktikad bahawa Allah swt itu juga seperti makhluk. Ini kerana menyifatkan Allah swt dengan jisim makhluknya seperti tangan dan kaki bermakna Allah swt memiliki anggota yang berbentuk dan meniru sesuatu kejadian. Oleh yang demikian, sekiranya Allah swt itu mempunyai tangan dan kaki sudah pasti ada jarinya. Persoalan yang berbangkit adalah bagaimana jarinya? berapakah batang jarinya? panjang atau pendek? apakah warna jarinya? adakah ia memiliki kulit dan kuku? serta pelbagai persoalan batil yang akan dibangkitkan demi menghurai masalah ini. Oleh itu, tiada bezanya tuhan yang disembah oleh penganut Hindu dan Budha kerana mereka juga menetapkan tuhan mereka dengan tempat, arah dan jisim seperti patung dan berhala yang disembah.

Ya, mungkin ada yang bertanya apakah huraian dan penjelasan yang dinyatakan oleh para sahabat, ulama dan cendiakawan Islam yang terdahulu mengenai masalah ini. Di zaman sahabat r.a, mereka ada yang berpendapat untuk menyerahkan makna Mutasyabihat ini kepada Allah swt semata-mata tanpa ada sebarang penyamaan dengan makhluk. Dan ada pula daripada kalangan mereka yang metakwilkan lafaz tersebut dengan pentakwilan secara selamat dan mengikut disiplin ilmu yang tidak cenderung kepada mana-mana makhluk yang bersumberkan kepada ayat suci al-Quran dan ungkapan hadis nabi saw yang mulia. Untuk itu, di bawah ini saya kongsikan beberapa pandangan ahli ilmu dan cendiakawan Islam yang berlepas diri dari menyamakan Allah swt dengan makhluk dan berhajat kepada tempat dan arah. Antaranya;

1. Saidina Abu Bakar r.a berkata:

"العجز عن درك الإدراك إدراكُ، والبحث عن ذاته كفر وإشراكُ"

Bermaksud: “Kelemahan akal untuk mengetahui sesuatu kefahaman adalah merupakan tanggapan dan mengkaji tentang Zatnya (Zat Allah swt) pula adalah kufur dan Syirik.”[1]

2. Saidina Ali r.a berkata:

"كان الله ولا مكان، وهو الآن على ما عليه كان"

Bermaksud: “Allah itu wujud sejak dari azali dan Dia tidak bertempat, dan Dia sekarang kekal seperti dahulu.”[2]

Keterangan ini bermaksud Allah swt telah wujud dari azali lagi sejak sebelum dan selepas penciptaan tempat dan Dia sekarang kekal seperti itu (tidak bertempat). Untuk itu, Allah swt tidak berubah-ubah dari satu keadaan ke satu keadaan seperti makhluk.

Katanya lagi:

"من زعم أن ألهنا محدود فقد جهل الخالق المعبود"

Bermaksud: “Sesiapa yang menyangka bahawa tuhan kita adalah memiliki tempat yang terbatas, maka dia sebenarnya jahil tentang pencipta yang disembah.” [3]

Maksud terbatas di sini adalah kawasan yang diperlukan oleh Allah swt sama ada bersaiz kecil atau besar.

Tambahnya lagi:

"إن الله تعالى خلق العرش إظهاراً لقدرته لا مكاناً لذاته"

Bermaksud: “Sesungguhnya Allah swt menciptakan Arasy adalah bertujuan untuk menunjukkan kemampuanNya, bukanlah sebagai tempat untuk zatNya.”[4]

3. Imam Ja’afar al-Sadiq [5] bin Muhammad al-Baqir bin Zainal Abidin Ali bin saidina al-Hussien r.a berkata:

"من زعم أن الله فى شيء أو من شيء أو على شيء فقد أشرك. إذ لو كان على شيء لكان محمولا، ولو كان فى شيء لكان محصورا، ولو كان من شيء لكان محدثاً (أى مخلوقاً) "

Bermaksud: “Sesiapa yang menyangka bahawa Allah swt itu ada di dalam sesuatu atau daripada sesuatu atau pada sesuatu, maka dia telah syirik. Sekiranya Allah swt itu ada pada sesuatu, pasti Dia bergerak. Sekiranya Allah swt itu ada di dalam sesuatu pasti Dia terhad (tidak bergerak). Sekiranya Allah swt itu daripada sesuatu, pasti Dia adalah benda yang baru (makhluk).”[6]

4. Imam al-Mujtahid Abu Hanifah [7] al-Nu’man bin Thabit berkata:

قلتُ: أرأيتَ لو قيل أين الله تعالى؟ فقال -أبو حنيفة- : يقال له كان الله تعالى ولا مكان قبل أن يخلق الخلق، وكان الله تعالى ولم يكن أين ولا خَلْق ولا شيء، وهو خالق كل شيء

Bermaksud: “Aku berkata: Apakah pendapatmu sekiranya dikatakan, di manakah Allah swt? Lantas Abu Hanifah menjawab: Dikatakan padanya (orang yang bertanya) Allah itu wujud sejak dari azali dan Dia tidak bertempat sebelum menciptakan makhluk, Allah swt itu wujud dan Dia tidak ada di mana-mana dan tidak ada pula makhluk dan sesuatu pun (bersamanya). Dan dia menciptakan setiap sesuatu.”[8]

5. Telah thabit (terbukti) daripada Imam Malik [9] seperti apa yang diriwayatkan oleh imam al-Baihaqi dengan sanad yang baik [10] daripada jalan periwayatan Abdullah bin Wahab, berkata:

قال: كنا عند مالك فدخل رجل فقال: يا أبا عبد الله، الرحمن على العرش استوى؟ فأطرق مالك فأخذته الرخصاء (أى كثرة العرق) ثم رفع رأسه فقال: الرحمن على العرش استوى كما وصف نفسه ولا يقال كيف وكيف عنه مرفوع وما أراك إلا صاحب بدعة، أخرجوه. فقول مالك: وكيف عنه مرفوع أي ليس استواؤه على عرشه كيفاً أي هيئة كاستواء المخلوقين من جلوس ونحوه

Bermaksud: “Sewaktu kami di sisi imam Malik, maka masuk seorang lelaki lantas berkata: “Wahai Abu Abdullah, firman Allah swt: الرحمن على العرش استوى, bagaimana cara bersemayamnya itu?” Maka tersentak imam Malik hingga berpeluh. Kemudian beliau mengangkat kepalanya seraya berkata: “الرحمن على العرش استوى itu seperti yang disifatkan untuk dirinya, tidak boleh dikatakan bagaimana. Dan cara bersemayamnya itu adalah Marfu’. Dan tidaklah aku melihat dirimu melainkan daripada kalangan ahli bida’h, keluarkan dia!” Lantas imam Malik pun berkata: “Dan cara bersemayamnya itu adalah Marfu’ bukanlah semayamnya itu di atas Arasy secara keadaan tertentu, iaitu sesuatu benda yang boleh dirasa seperti duduknya makhluk untuk bersemayam dan seumpama dengannya.”[11]

Daripadanya juga [12] meriwayatkan:

"وثبت عن مالك التأويل فى حديث النزول أنه قال: نزول رحمة لا نزول نقلة"

Bermaksud: “Terbukti daripada imam Malik bahawa beliau mentakwilkan berkenaan hadis al-Nuzul (hadis berkenaan tentang turunnya Allah swt pada setiap malam ke langit dunia) berkata: “Nuzul (turun) itu adalah rahmat, bukanlah Nuzul (turun) secara berpindah (dari satu tempat ke satu tempat).”[13]

6. Berkata Imam Syafie [14]:

إنه تعالى كان ولا مكان، فخلق المكان وهو على صفة الأزلية كما كان قبل خلقه المكان، ولا يجوز عليه التغيير في ذاته، ولا التبديل في صفاته

Bermkasud: “Sesungguhnya Allah swt itu wujud sejak dari azali dan tidak pula bertempat, Maka diciptakan tempat sedangkan Dia bersifat kekal azali sama seperti sebelum menciptakan tempat. Tidak boleh menetapkan ke atas Allah swt untuk berubah pada zatNya dan tidak pula bertukar pada sifatNya.”[15]

7. Ibnu Hajar al-Haitami al-Syafie menyebutkan di dalam kitabnya [16] berkenaan status imam Abu Abdillah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal al-Syaibani [17] berkenaan masalah ini. Beliau menjelaskan bahawa imam Ahmad bin Hanbal adalah daripada kalangan ulama yang mensucikan Allah swt dari sifat arah dan jisim. Selanjutnya beliau mengulas;

وما اشتهر بين جهلة المنسوبين إلى هذا الإمام الأعظم المجتهد من أنه قائل بشيئ من الجهة أو نحوها فكذبٌ وبهتانٌ وافتراءٌ عليه

Bermaksud: “Dan apa yang dikenali di kalangan orang jahil yang menisbahkan kepada imam yang hebat dan mujtahid ini adalah mengatakan bahawa Allah swt berhajat sesuatu kepada arah atau sebagainya. Maka sebenarnya ini adalah satu penipuan, fitnah dan pembohongan ke atasnya.”

8. Imam al-Hafiz al-Faqih Abu Ja’far Ahmad bin Salamah al-Tahawi al-Hanafi berkata di awal risalahnya [18]:

وتعالى-أي الله- عن الحدود والغايات والأركان والأعضاء والأدوات،لا تحويه الجهات الست كسائر المبتدعات

Bermaksud: “Maha Tinggi -yakni Allah- dari segala batasan, penghujung, sudut, anggota dan alat, tidak pula boleh disandarkan kepada arah yang 6 (atas, bawah, depan, belakang, kanan dan kiri) seperti anggapan orang-orang ahli bid’ah.”

9. Berkata al-Hafiz Abu Bakar Ahmad bin al-Husain al-Baihaqi [19]:

واستدل بعض أصحابنا فى نفي المكان عنه بقول النبي صلى الله عليه وسلم: ((أنت الظاهر فليس فوقك شيء، وأنت الباطن فليس دونك شيء))، وإذا لم يكن فوقه شيء ولا دونه شيء لم يكن في مكان

Bermaksud: “Sebahagian daripada mazhab kami menjadikan dalil pada menafikan tempat untuk Allah swt adalah berdasarkan kepada sabda nabi saw: “Engkau Maha Jelas, maka tiada di atasMu sesuatu pun dan engkau Maha tersembunyi, maka tiada di bawahMu sesuatu pun.” Dan imam al-Baihaqi menjelaskan lagi, sekiranya di atas dan di bawahNya tidak ada sesuatu pun, pasti Allah swt itu tidak bertempat.”[20]

10. Berkata Syeikh Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali al-Asya’ari [21] di dalam kitabnya[22]:

تعالى-أي الله- عن أن يحويه مكان، كما تقدس عن أن يحده زمان، بل كان قبل أن خلق الزمان والمكان وهو الآن على ما عليه كان

Bermaksud: “Maha Tinggi -yakni Allah- dari memiliki tempat, seperti mana Maha Suci Allah swt dari batasan masa. Bahkan sebelum Allah swt menciptakan masa dan tempat, Dia sekarang tetap kekal azali seperti dahulu.”

11. Imam al-Hafiz al-Mufassir Abdul Rahman bin Ali yang dikenali sebagai Ibn al-Jauzi al-Hanbali menegaskan [23]:

"الواجب علينا أن نعتقد أن ذات الله تعالى لا يحويه مكان ولا يوصف بالتغيير والانتقال"

Bermaksud: “Wajib ke atas kita untuk beriktikad bahawa zat Allah swt tidak memiliki tempat dan tidak pula bersifat dengan berubah-ubah dan berpindah-randah.”

Begitu juga bantahan beliau di dalam kitabnya (دفع شبه التشبيه) ke atas golongan al-Mujassimah (kumpulan yang menyifatkan Allah swt dengan anggota badan) yang menyandarkan diri mereka kepada mazhab imam Ahmad bin Hanbal. Seperti yang kita maklum, bahawa imam Ahmad bin Hanbal berlepas diri dari apa yang mereka percayai. Imam ibnu Jauzi menerangkan di dalam kitabnya bahawa pegangan akidah Salaf dan imam Ahmad adalah menyucikan Allah swt dari arah, tempat, batasan, jisim, berdiri, duduk dan tetap (tidak bergerak) serta lainnya dari sifat-sifat yang baru dan berjisim.

12. Berkata Syeikh Abdul Aziz bin Abdul Salam al-Asya’ari [24] yang digelarkan sebagai Sultan Ulama menyatakan bahawa [25];

ليس- أي الله- بجسم مصوَّر، ولاجوهرٍمحدود مقدَّر، ولا يشبه شيئاً، ولا يشبهه شيء، ولا تحيط بالجهات، ولا تكتنفه الأرضون ولا السموات، كان قبل أن كوَّن المكان ودبَّر الزمان، وهو الآن ما عليه كان

Bermaksud: “Bukanlah Allah itu bersifat dengan jisim yang boleh digambarkan, dan tidak pula zat yang terbatas lagi boleh dianggarkan, tidak menyerupai sesuatu, tidak pula sesuatu yang menyerupainya, tidak merangkumi arah, tidak dikelilingi segala cakerawala dan langit. Allah swt wujud sejak azali sebelum menciptakan tempat dan menguruskan masa lagi. Dan Dia sekarang tetap kekal azali seperti dahulu.”

13. Berkata al-Hafiz Abu Zakaria Muhyiddin Yahya Bin Syarf al-Nawawi al-Asya’ari [26] di dalam kitabnya [27];

"إن الله تعالى ليس كمثله شيء، وإنه منزه عن التجسيم والإنتقال والتحييز فى جهة وهن شائر صفات المخلوق"

Bermaksud: “Sesungguhnya Allah swt tidak ada yang menyerupainya sesuatu pun, sesungguhnya Dia Suci dari sifat Tajsim (jisim), berpindah-randah (bergerak), mengambil ruang (untuk dimiliki) pada sesuatu arah dan juga segala yang menyerupai sifat-sifat makhluk.”

14. Al-Hafiz Jalaluddin Abdul Rahman bin Abi Bakar al-Suyuti ketika mensyarahkan hadis;

(أقرب ما يكون العبد من ربِّه وهو ساجد)

Beliau menjelaskan:

قال القرطبي هذا أقرب بالرتبة والكرامة لا بالمسافة، لأنه منزه عن المكان والمساحة والزمان. وقال البدر بن الصاحب في تذكرته: فى الحديث إشارةٌ إلى نفي الجهة عن الله

Bermaksud: (Keadaan yang paling hampir seorang hamba dengan tuhannya ada ketika dia sedang bersujud): “Imam al-Qurtubi berkata: “Hadis ini menerangkan tentang darjat dan kemuliaan bukanlah jarak, kerana Allah swt suci dari tempat, kawasan dan masa.” Berkata al-Badr bin al-Sahib di dalam kitab Tazkirahnya: “Hadis tersebut menunjukkan kepada penafian arah untuk Allah swt.”[28]

15. Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani al-Asya’ari menjelaskan;

تقرَّر أن الله ليس بجسم، فلا يحتاج إلى مكان يستقر فيه، فقد كان ولا مكان

Bermaksud: “Ditetapkan bahawa Allah itu tidak berjisim, maka Dia tidak berhajat kepada tempat untuk menetap padanya. Sesungguhnya Allah swt itu kekal wujud sejak azali dan tidak pula bertempat.”[29]

16. Syeikh Abu al-Abbas Syihabuddin Ahmad bin Muhammad al-Qustullani al-Misri mentakwilkan ayat al-quran berikut di dalam kitabnya menyatakan bahawa;

قول الله تعالى

وجوه: هى وجوه المؤمنين

يومئذ: يوم القيامة

ناضرة: حسنة ناعمة

:إلى ربها ناظرة

بلا كيفية ولا

جهة ولا ثبوت مسافة

Bermaksud: "Allah swt berfirman:

(وجوه) : Wajah-wajah orang yang beriman.

(يومئذ): Hari kiamat.

(ناضرة) : Cantik lagi lembut.

(إلى ربها ناظرة) : Tanpa cara, arah dan penetapan jarak."[30]

Kalau ingin disenaraikan ke semua pendapat dan penjelasan ulama dan cendiakawan Islam mengenai perbahasan ini, maka artikel ini tidak lagi dinamakan sebagai ringkasan bahkan ia di kategorikan sebagai catatan yang terlalu terperinci. Ini kerana bukan 16 pandangan ini sahaja yang mampu dinukilkan, bahkan ratusan, ribuan malah jutaan ulama bersepakat bagi menyatakan penafian mereka terhadap Allah swt berkenaan diri dan zatNya dari penyamaan dengan makhluk dan berhajat kepada tempat dan arah. Cukup hanya sekadar ini untuk dijelaskan kepada masyarakat awam mengenai perbincangan ini. Dikhuatiri ia terlalu panjang dan mendalam yang boleh menyebabkan pembaca menjadi bosan dan jemu.

Kesimpulan

Ulama sejak dari kurun ke 3 hingga ke hari ini bersepakat menyatakan bahawa Allah swt tidak memerlukan kepada sesuatu dan tidak pula menyerupai dengan makhluknya. Permasalahan ini bukanlah dari perbincangan feqah mahu pun akhlak yang boleh dijadikan perselisihan, malah ia merupakan dari bab akidah dan tauhid. Bercanggah dan berbeza pandangan dengan persepakatan ulama dari segi penetapan akidah dan tauhid adalah kufur. Seorang muslim yang telah kufur dengan ketetapan ijmak ulama berkenaan usul agama boleh dihukum dengan adilnya oleh hakim muslim yang memerintah. Oleh yang demikian, tidak seharusnya bagi seorang manusia untuk menyifatkan Allah swt dengan apa jua benda yang baru, fana dan yang akan musnah. Kerana Allah swt itu hidup dan kekal abadi tanpa ada hitungan masa dan waktu yang terhad. Maha Suci Allah dari sifat kekurangan dan kelemahan.

والله تعالى أعلم بالصواب

Nota Hujung

________________________

[1] Risalah Allah Maujud Bila Makan Wala Jihhah, Jami’yyah al-Masyari’ al-Khairiyyah al-Islmiyyah Fi faransa, hlmn. 2.

[2] Al-Farq Baina al-Farq, ِAbu Mansur al-Baghdadi, 1/321.

[3] Kitab Hilyah al-Aulia, Abu Nua’im al-Asbahani, Terjemah Ali bin Abu Talib (1/73).

[4] Kitab al-Farq Baina al-Farq, ِAbu Mansur al-Baghdadi, 333.

[5] Beliau adalah salah seorang pembesar ahli bait nabi saw yang hebat di dalam ilmu feqah, alim dan mempunyai kelebihan yang tersendiri. Sila lihat kitab al-Thiqat karangan Ibnu Hibban (6/131).

[6] Imam al-Qusyairi menyebutkan di dalam risalahnya al-Ma’rufah Bi al-Risalah al-Qusyairiyyah, hlmn. 6.

[7] Pengasas mazhab Imam Hanafi.

[8] Al-Feqh al-Absat, mengandungi himpunan risalah Abu Hanifah, disemak oleh imam al-Kauthari, hlmn. 20.

[9] Pengasas mazhab Imam Malik.

[10] Di dalam kitab al-Asma Wa al-Sifat, imam al-Baihaqi.

[11] Risalah Allah Maujud Bila Makan Wala Jihhah, Jami’yyah al-Masyari’ al-Khairiyyah al-Islmiyyah Fi faransa, hlmn. 18.

[12] Imam al-Baihaqi.

[13] Sila lihat kitab al-Asma Wa al-Sifat, imam al-Baihaqi.

[14] Pengasas Mazhab Imam Syafie.

[15] Ithaf al-Sadah al-Muttaqin, 2/24.

[16] Al-Fatawa al-Hadithiyyah, hlmn. 144.

[17] Pengasas mazhab Hanbali.

[18] Risalah imam Tahawi yang bernama ‘al-Aqidah al-Tahawiyyah’. Sila rujuk.

[19] Imam al-Baihaqi adalah seorang ahli hadis yang berpegang kepada mazhab Syafie.

[20] Sila rujuk kitab al-Asma Wa al-Sifat, hlmn. 400.

[21] Hujjah al-Islam imam al-Ghazali.

[22] Ihya Ulum al-Din, Kitab Qawaid al-A’qaid, Fasal Pertama, 1/108.

[23] Daf’u Syabh al-Tasybih, Ibnu Jauzi, hlmn. 58.

[24] Beliau adalah seorang tokoh ilmuan yang berpegang kepada akidah Asya’ari dan penyunting kepada mazhab imam Syafie.

[25] Tabaqat al-Syafieyyah al-Kubra, Terjemah Abdul Aziz bin Abdul Salam, (8/219).

[26] Imam Nawawi adalah seorang tokoh ilmuan yang berpegang kepada akidah Asya’ari dan penyunting terkenal kepada mazhab imam Syafie.

[27] Syarah Sahih imam Muslim, (3/19).

[28] Syarah al-Suyuti, Sunan al-Nasa’I, (1/576).

[29] U’mdah al-Qari, imam Badr al-Aini, (Jilid 12/25/117).

[30] Irsyad al-Sari, imam al-Qustullani, (15/462).


Penulis (Ibnu Hassan Al-Qusyasyi) adalah seorang pelajar di Universiti Al-Azhar Asy-Syariff dan rakan karib Akhi Ameer sewaktu belajar di sana.

0 Comments