Firman Allah S.W.T :


وَقَالَ الشَّيْطاَنُ لَمَّا قُضِىَ الأَمْرُ إِنَّ اللهَ وَعَدَكُمْ وَعَدَ الحَقِّ وَوَعَدْتُّكُمْ فَأَخْلَفتُكُمْ وَمَا كَانَ لِىَ عَلَيْكُمْ مِنْ سُلْطَانٍ إِلاَّ أَنْ دَعَوْتُكُمْ فَاسْتَجَبْتُمْ لِى فَلاَ تَلُومُونِى وَلُومُوا أَنْفُسَكُمْ مَا أَناَْ بِمُصْرِخِكُمْ وَمَا أَنتُمْ بِمُصْرِخِىَّ إِنِّى كَفَرْتُ بِمَا أَشْرَكْتُمُونِ مِنْ قَبْلُ إِنَّ الظَّالِمِيْنَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيْمٌ


Maksudnya:

“ Dan berkatalah pula Syaitan (setelah selesainya hari hisab): "Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku juga telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu; dan tiadalah bagiku sebarang kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya". Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya. ” - Surah Ibrahim (23)


Inilah salinan teks ucapan siri khutbah perdana yang disampaikan oleh Syaitan Laknatullah di padang mahsyar yang telah dirakamkan oleh Allah Ta’ala di dalam Al-Quranul Karim.


Sesungguhnya pada hari kiamat kelak, Syaitan akan berdiri di atas mimbar daripada api neraka lalu menyampaikan khutbahnya yang mana ianya didengari oleh semua makhluk, (setengah riwayat mengatakan ianya didengari oleh ahli neraka) seraya berkata:

Sesungguhnya Allah S.W.T telah menjanjikan kamu (wahai manusia) akan nikmat syurga bagi hamba-hambanya yang bersyukur dan ancaman/azab bagi mereka-mereka yang kufur (ingkar). Sesungguhnya janji Allah itu adalah janji yang benar dan ia tidak akan dimungkirinya.


Adapun aku juga menjanjikan kepada kamu iaitu akan tiadanya hari kebangkitan, penghisaban dan balasan bagi mereka yang melakukukan dosa, sedangkan aku tipu dan aku memungkiri janjiku kerna aku tidak mempunyai apa-apa kuasa mutlak ke atas kamu, tetapi malangnya kamu percaya kata-kata dan janji dustaku itu.


Nah..sekarang kamu jangan salahkan aku, salahkan dirimu sendiri wahai manusia! Aku tidak boleh membantumu dan kamu juga tidak mampu membantuku…


Alangkah malangnya manusia di dunia ini yang sering leka, lalai dan alpa. Sentiasa menuruti hawa nafsunya dan pujukan syaitan sedangkan mereka tahu dan sedar bahawa syaitan itu musuh yang nyata, ia sesat lagi menyesatkan manusia.

Firman Allah S.W.T :


اِسْتَحْوَذَ عَلَيهِمُ الشَّيطَانُ فَأَنْسَاهُم ذِكْرَ اللَّهِ أُولَـٰئِكَ حِزْبُ الشَّيطَانِ أَلاَ إِنَّ حِزْبَ الشَّيطَانِ هُمُ الخَاسِرُونَ


Maksudnya: “ Syaitan telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa untuk mengingati Allah. Mereka itulah golongan syaitan, maka sesungguhnya golongan syaitan itu amat merugikan.” - Surah Al-Mujadalah (19)


Ya Allah…sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu dari kejahatan syaitan dan hasutannya yang melalaikan manusia…

0 Comments