قال النبي T : يدخل الجنة سبعون ألفاً بغير حساب. وهم الذين:

1) لا يكتوون

2) ولا يسترقون

3) ولا يتطيرون

4) وعلى ربهم يتوكلون. (رواه البخارى ومسلم والترمذى)

5) لا يرقون. (رواه مسلم)

وفى رواية عنه:

قال النبي T : ليدخلنّ الجنة من أمتى سبعون ألفاً لا حساب ولا عذاب مع كل ألف سبعون ألفاً. (رواه أحمد)

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud:


“ Dimasukkan ke dalam syurga (dari kalangan umatku) 70 ribu orang tanpa hisab (perhitungan).” Mereka itu adalah:


1. Mereka yang tidak berubat dengan Kai (perubatan menggunakan besi panas).


2. Mereka yang tidak meminta untuk dijampi.


3. Mereka yang tidak merasa sial (bernasib malang pada sesuatu keadaan dsb.)


4. Mereka yang sentiasa bertawakkal (berserah diri) kepada Tuhannya. (Hadith riwayat: Imam Al-Bukhari, Muslim dan At-Tirmizi)


5. Mereka yang tidak berjampi. (Hadith riwayat: Imam Muslim)


Dan di dalam riwayat lain yang berkaitan dengannya, sabda Nabi S.A.W yang bermaksud:


“ Dimasukkan ke dalam syurga (dari kalangan umatku) 70 ribu orang tanpa hisab (perhitungan) dan tiada azab. Setiap seribu orang itu bersamanya 70 ribu orang pula.” (Hadith riwayat: Imam Ahmad)


Keterangan:


1. Jumlah 70 ribu orang itu bukanlah membawa maksud kepada had bilangan atau jumlah tertentu, tetapi ia digunakan sebagai tanda banyaknya jumlah tersebut malah lebih daripada itu kerana di dalam masyarakat arab, angka 7 itu membawa maksud kepada banyaknya bilangan atau jumlah tertentu.


2. Merasa sial atau bernasib malang - kononnya pada sesuatu perkara itu apabila ia dilakukannya akan mendatangkan mala petaka atau bahaya kepada dirinya sendiri atau kepada kepada keluarganya.


Kalimah يتطيرون atau perkataan asalnya adalah الطير bermaksud: Burung. Masyarakat arab jahiliyyah ketika hendak memulakan perjalanannya mereka melepaskan burung dari sangkarnya. Jika burung tersebut terbang ke kanan, ia membawa maksud baik dan selamat. Jika ia terbang ke kiri, itu adalah petanda buruk dan kecelakaan bakal berlaku (jika ia meneruskan perjalanannya). Ini adalah amalan kufur dan syirik di zaman jahiliyyah arab, kerana baik dan buruk itu adalah takdir Allah..mengapa ia diperjudikan dengan menggunakan burung atau sebagainya yang tidak tahu apa-apa langsung tentang nasib baik dan buruk seseorang itu…


3. Perubatan “Kai” adalah perubatan yang menggunakan besi panas. Ianya terkenal di kalangan masyarakat arab quraisy. Pada zaman Rasulullah S.A.W terdapat di kalangan para sahabat yang berubat menggunakan kaedah besi panas ini. Perubatan ini amat mujarab sehinggakan ianya menjadi satu kemestian di dalam dunia perubatan, tetapi Rasulullah S.A.W tidak menyukainya dan para ulama’ meletakkan hukum makruh menggunakan kaedah tersebut.


4. Meminta untuk dijampi itu tidaklah menjadi kesalahan tetapi sejauh manakah pergantungan kita kepada Allah S.W.T. Orang mukmin lagi bertaqwa itu sentiasa sandarkan harapan dan bertawakkal kepada Allah S.W.T setelah mereka berusaha dan berikhtiar di atas perkara duniawi yang dilakukannya.


5. Mereka yang berjampi atau mereka yang mengamalkan perubatan tradisional cara islam itu tidaklah juga menjadi kesalahan besar, selagi mana mereka tidak menggunakan perantaraan makhluk halus (Jin) seperti yang digunapakai oleh pawang-pawang, bomoh dan seangkatan dengannya sehingga membawa kepada syirik dan kufur kepada Allah S.W.T.


Apa salahnya kalau kita seorang muslim yang beriman. berilmu lagi bertaqwa mengubati diri sendiri dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran, selawat syifa’ dan sebagainya kemudian berdoalah kepada Allah S.W.T agar diberi kesihatan, dihindari segala wabak, penyakit, gangguan dan seumpamanya.


Bertawakkal kepada Allah S.W.T di dalam setiap perkara yang dilakukan. Mudah-mudahan ianya menjadi baik, berkat, selamat dan diredhai Allah.


(Petikan daripada: Kuliah Dhuha Ust. Ibrahim Mohd Raja Al-Maniri – 4 November 2010)

0 Comments