Bulan Ramadan adalah bulan yang penuh dengan rahmat dan barakah. Bahkan ia juga dikenali sebagai bulan ujian serta bulan kesabaran.

Sepanjang tempoh sebulan umat islam berpuasa, pastinya akan diuji dengan pelbagai dugaan dan cabaran. Hal ini disebabkan kerana kita perlu menjaga adab dan batas-batasnya agar tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Disamping itu, kita juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan ketika berpuasa. Mungkin dengan beranggapan bahawa perkara tersebut adalah perkara biasa sahaja yang tidak menjejaskan kualiti ibadah puasa kita.

Lantaran itu, marilah sama-sama kita muhasabah diri sambil menyemak semula 10 kesilapan yang sering berlaku di sepanjang bulan Ramadan ini:-

1. TIDAK BANGUN SAHUR
Kerana sudah makan terlalu banyak sebelum tidur atau makan ketika Moreh.
Sabda Rasulullah SAW:

تَسَحَّرُوا ، فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً
Maksudnya: “Bersahurlah kamu, sesungguhnya dalam bersahur itu ada keberkatannya“. (Riwayat Al-Bukhari)

Dalam hadith yang lain, sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ فَصْلَ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَرِ
Maksudnya: “Beza antara puasa kita (orang Islam) dengan ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) ialah dengan memakan sahur".(Riwayat Abu Daud)

2. TIDUR SELEPAS BERSAHUR DAN MENINGGALKAN SOLAT SUBUH
Hukum bersahur adalah sunat semata-mata, tetapi hukum mendirikan solat subuh adalah wajib. Maka, hendaklah diutamakan solat subuh berbanding bangun makan sahur. Sabda Rasulullah SAW:

بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ تَرْكُ الصَّلَاةِ فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ
Maksudnya: "Beza diantara kami dengan mereka adalah meninggalkan solat. Oleh itu, sesiapa yang meninggalkannya, maka dia telah kufur". (Riwayat At-Tirmidzi)

3. BERPUASA SEPANJANG HARI, TETAPI MENGABAIKAN PERINTAH SOLAT KERANA SIBUK BEKERJA ATAU BERNIAGA DI SIANG HARI BULAN RAMADAN
Sama seperti perkara yang telah disebutkan di atas. Bahkan kedua-dua ibadah tersebut adalah suatu Kefardhuan, tetapi oleh kerana terlalu mengejar habuan dunia yang mana keuntungannya berlipat kali ganda bakal diperolehi di bulan Ramadan, maka kita sanggup mengabaikan perintah Allah SWT ini. Firman Allah SWT:

فَخَلَفَ مِن بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيّاً (٥٩) إِلَّا مَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ صَالِحاً
Maksudnya: "Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka), kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh". (Surah Maryam, ayat 59-60)

4. TIDAK PRODUKTIF KETIKA BEKERJA DI SIANG HARI, DENGAN ALASAN 'SEDANG BERPUASA'
Kita sering menjadikan ibadah puasa sebagai alasan untuk tidak melakukan apa-apa tugasan yang diberikan. Sikap seperti ini, menunjukkan kepada masyarakat bahawa umat islam menjadi lemah ketika melakukan ibadah. Dan ini bukanlah suatu contoh teladan yang baik.

5. MAKAN DAN MINUM DENGAN BEBAS TANPA IMSAK (MENAHAN DIRI), APABILA TELAH TERBATAL PUASANYA DENGAN SENGAJA
Hal ini dinyatakan di dalam Kitab Fiqh Manhaji Mazhab As-Syafie yang berbunyi:

"Jika seseorang itu telah melakukan perkara yang membatalkan puasanya dengan sengaja (bukan disebabkan uzur syar'ie), maka dia hendaklah meneruskan imsak (menahan diri) sepanjangan hari tersebut kerana menghormati bulan Ramadan, dan dia wajib menggantikannya semula" (Fiqh Manhaji, Jilid 2 - M/S: 102)

Contohnya: Seseorang yang berpuasa tanpa berniat pada waktu malam. Maka puasanya tidak sah, lalu dia hendaklah meneruskan imsak dan menggantikan puasanya.

6. TERLALU BANYAK TIDUR DI SIANG HARI RAMADAN
Dengan alasan, tidur orang berpuasa adalah ibadah. Hal ini berdasarkan hadith. Sabda Nabi SAW:

نَوْمُ الصَّائِمِ عِبَادَةٌ، وَصَمْتُهُ تَسْبِيحٌ، وَدُعَاؤُهُ مُسْتَجَابٌ، وَعَمَلُهُ مُضَاعَفٌ
Maksudnya: “Tidur seorang yang berpuasa adalah ibadah, diamnya adalah tasbih, doanya mustajab dan amalannya berganda.” (Riwayat Al-Baihaqi)

Meskipun terdapat hadith yang menyatakan demikian, namun bulan Ramadan bukanlah bertujuan untuk tidur semata-mata.

7. BERBUKA PUASA DENGAN MEROKOK Selain Makan Dan Minum.
Perbuatan ini dipandang keji oleh Islam, lantaran itu, hukum merokok adalah haram di sisi Islam.
Wajarkah kita melakukan perkara yang haram, setelah mana kita baru sahaja meraih pahala daripada ibadah puasa?

8. MEMBAZIR MAKANAN KETIKA BERBUKA PUASA Dengan Mengambil Juadah Berlebihan.
Hal ini sering berlaku, samada berbuka puasa di rumah sendiri atau di luar seperti di masjid dan lain-lainnya. Perbuatan membazir itu adalah amalan syaitan. Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلۡمُبَذِّرِينَ كَانُوٓاْ إِخۡوَٰنَ ٱلشَّيَٰطِينِۖ وَكَانَ ٱلشَّيۡطَٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورٗا
Maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya". (Sura Al-Isra', Ayat 27)

9. TERLALU SIBUK DENGAN PERSIAPAN RAYA Sehingga Mengabaikan Ibadah Pada 10 Akhir Ramadan.
Kita hampir kalah tatkala berada di penghujung Ramadan, sedangkan di penghujungnya Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda, apatah lagi jika ibadah tersebut dilakukan ketika Lailatul Qadar.

Tetapi, kemeriahan Aidilfitri lebih utama bagi kita berbanding merebut peluang yang dijanjikan oleh Allah SWT. Sayyidatina 'Aisyah R.Anha, beliau berkata :

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْيَا لَيْلَهُ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ
Maksudnya: ”Adapan Nabi SAW apabila masuknya hari 10 terakhir Ramadan, Baginda akan mengetatkan kain, menghidupkan malam tersebut dan mengejutkan ahli keluarganya (untuk turut menghidupkan malam).” (Riwayat Al-Bukhari)

Di dalam riwayat lain menyebut :

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَجْتَهِدُ فِى الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مَا لاَ يَجْتَهِدُ فِى غَيْرِهِ
Maksudnya: ”Rasulullah SAW bersungguh-sungguh pada 10 malam terakhir tidak seperti bulan-bulan yang lain.” (Riwayat Muslim)

10. SETELAH RAMADAN KEMBALI KEPADA TABIAT LAMA
Gagal Merubah Sikap Dan Kembali Mengulangi Kesilapan Yang Sama. Inilah yang dimaksudkan oleh Nabi SAW dalam sebuah hadith yang berbunyi:

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ، وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ
Maksudnya: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiyam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam”. (Riwayat Ibnu Majah)

Sepanjang sebulan berpuasa, kita hanya mendapat penat, lapar dan dahaga sahaja. Kita tidak menjadikan bulan Ramadan sebagai bulan tarbiah atau medan untuk kita melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.

Semoga Allah SWT mengampunkan segala salah dan silap kita, serta menerima amal ibadah kita di bulan Ramadan ini آمين



UST. MOHD AMIRUL BIN KAMARUDIN
09 Ramadan 1441H
02 Mei 2020 Masehi

0 Comments